Wednesday, 21 December 2016

Cik Cashier Mamat Skru - #3


Aku meminggir ke tepi jalan dan menghentikan kereta. Masih lagi mengamati tingkah kedua-duanya. Kesian si abang, masih lagi memujuk si adik. Aku perhatikan kawasan sekeliling. Sunyi. Tiada sesiapa pun. Jam sudah pukul dua lima minit. Pengawal Keselamatan juga tidak kelihatan, mungkin berada di dalam bilik kawalan mereka. Kasihan melihat kedua-duanya, aku matikan enjin kereta lalu turun dan berjalan ke arah mereka.
"Assalamualaikum." Aku memberi salam namun tidak berjawab. Aku tahu anak-anak kecil ini tentu sudah diajar untuk tidak mendekati orang asing. Senyuman mesra aku berikan agar mereka tidak takut.
"Nama kakak, Kak Zafirah. Adik panggil Kak Firah je. Kenapa menangis ni, sayang?" ujarku lembut, cuba mendekati mereka. Si abang segera merapatkan tubuh adiknya ke sisi, seolah-olah cuba melindungi adiknya.
"Abang janganlah takut. Kak Firah tanya je. Kak Firah duduk kat taman belakang tu je. Dulu, sekolah ni pun sekolah Kak Fira juga. Abang dengan adik tunggu siapa?" Masih lagi aku cuba bertanya.
Tangis si kecil sudah berhenti. Wajah yang polos itu melempar pandang ke arahku. Matanya yang bulat masih bersisa air mata. Kasihannya.
"Adik lapar!"
Allah, sedihnya aku dengar. Anak kecil itu sedang menahan lapar. Patutlah dia menangis. Tapi kenapa mereka masih di sini. Tertinggal van sekolahkah?

"Kenapa adik dan abang belum balik? Rumah kat mana?"
"Ayah belum sampai. Selalu ayah tak pernah lambat," balas si abang yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
"Abang tahu nombor telefon ayah?"
Geleng.
"Adik?"
Geleng.
Astaghafirullah. Macam mana nak tolong ni.
"Tak apalah, Kak Firah duduk sini dengan abang dan adik tunggu ayah sampai ye. Kalau ayah tak sampai juga, Kak Firah hantar balik. Abang tahu jalan nak balik rumah tak?"
Angguk. Lesu. Kasihannya anak-anak ini.
Apa agaknya yang menjadi halangan untuk ayah mereka sehingga anak-anak ini terpaksa menunggu sebegini lama. Rasanya, sekolah tamat jam 1.05 tadi dah. Lebih sejam anak-anak ni menunggu. Jam tangan kujeling seketika. Hah, dah jam 2.30. Pasrah sajalah ni kalau kena mengadap bos. Kasihan pula dengan anak-anak ni.
"Adik lapar."
"Sekejap lagi kita balik, adik makanlah," pujuk si abang.
Biarpun aku ni anak bongsu, tak ada adik kecil tapi aku ni jenis yang sangat suka kanak-kanak. Hati aku ni rapuh sangat bila dengar perkataan lapar tu. Akalku sedang hebat bekerja, mencari solusi bagi mereka. Akhirnya, tak kiralah macam mana pun, aku harus tolong.
"Adik dan abang ikut Kak Firah ye. Kita pergi makan kat tempat kerja Kak Firah, lepas tu Kak Firah hantar adik dan abang balik rumah. Boleh?"
Mungkin kerana sudah kepenatan, kedua-duanya bersetuju dengan cadanganku. Aku melangkah ke dalam pagar sekolah mencari pondok pengawal. Kelibat pengawal yang sedang berjalan menuju ke pondok itu membuahkan senyuman di wajahku. Lebih mudah kerja ni.
"Abang Mat," laungku.
Abang Mat yang terpinga-pinga melihat aku dengan dua anak kecil itu segera menghampiri.
"Ha, Firah buat apa kat sini. Tak kerja?"
"Nak pergi kerja la ni. Ternampak budak berdua ni kat bus stop tu, yang adiknya menangis pula.  Orang bawa diorang ni pergi kerja la, bagi makan dulu lepas tu orang tolong hantar balik."
"Eh, Firah kenal ke budak-budak ni?"
Geleng. Abang Mat tambah keliru. Abang Mat ni jiran selang dua buah rumah sahaja daripada rumahku. Dulu Abang Mat seorang askar, tapi ambil pencen muda katanya.
"Kasihan la diorang ni. Tak apalah. orang tolong je hantarkan. Ni Abang Mat bagi nombor telefon orang kalau-kalaulah ayah diorang ni cari diorang kat sini. Abang Mat bagi taulah yang Abang Mat kenal orang." Nombor telefon bimbit kucatit di atas buku catatan pengawal yang ternganga. Abang Mat hanya tersengih.

***********************

Salam Sayang..
Kak Yus

No comments:

Post a Comment

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com