Monday 13 February 2012

Takbir Rindu Eidul Fitri




Alunan surah yassin sayup-sayup menerjah gegendang telingaku.  Aku merenung sayu sekujur tubuh yang telah dikafankan menanti waktu untuk segera dikebumikan.  Air mata sudah laju berlinangan di pipi yang gersang.  Segera aku menyekanya.  Aku kena kuat demi untuk adik-adik.  Aku kena kuat demi untuk umi.

"Pergilah umi.. kakak relakan pemergian umi.  Kakak akan jaga amanah umi ini sebaik-baiknya," bisik hatiku lantas setitik demi setitik air mata mempamerkan diri lagi.  

Tak mampu aku bendung kesakitan di hati ini.  Adik-adik di sekelilingku sedari tadi tidak henti lagi menangis.  Lebih-lebih lagi Athirah, yang baru berusia 6 tahun itu, tidak mengerti apa-apa, terus menjerit marah apabila melihat umi dikafankan.  Aku meraih badan Athirah dan memeluknya kejap.  Kasihan adik aku yang kecil ini, masih tidak mengerti apa-apa.

Sebagai anak lelaki yang sulung, Aiman yang baru berusia 13 tahun, mengepalai usungan jenazah umi ke perkuburan.  Suasana sunyi dan sepi menyelubungi pagi.  Terasa seakan-akan alam juga turut sama berkongsi kesedihan kami.  Kubiarkan adik-adik berada lebih lama di pusara umi.. biarlah mereka meluahkan rasa pilu yang aku sendiri pun tak mampu ubati.  Seorang demi seorang meninggalkan kami di situ.  Berat hati ingin meninggalkan umi keseorangan.  Athirah yang hebat menangis sudah tersedu-sedu.  Rintih hatiku apabila melihat Athirah meronta-ronta ingin mengikut umi masuk ke liang lahad.

“Umi, kakak bawa adik-adik pulang dahulu.  Umi jangan sedih ye, kakak akan sentiasa datang menjengok umi bersama adik-adik..kakak sayang umi,”

Pusara umi kami tinggalkan dengan langkah yang teramat berat.  Bersemadilah umi dengan aman di sana.  Akan kakak pikul amanah umi ini sebaiknya.

“Sakinah, mampu ke kamu nak jaga adik-adik kamu ni.  Biarlah Mak Teh yang jaga Ainul dan Athirah tu." ujar Mak Teh seminggu selepas pemergian umi.  Aku tersentak dengan usul Mak Teh.

“Mak Teh, bukan Kinah nak tolak bantuan Mak Teh, tapi Kinah tak sanggup nak pisahkan adik-adik.  Kami dah biasa membesar bersama Mak Teh..,”

"Tapi kamu tu sekolah lagi Kinah.. mananya kamu nak jaga adik-adik lagi, nak sekolah lagi.. bukannya banyak sangat peninggalan arwah umi kamu tu. Arwah abah kamu tu lagi la pulak, mananya ada harta yang ditinggalkan untuk kamu adik beradik.  Itulah, dari dulu aku dah cakap kat arwah umi kamu tu, jangan beranak ramai-ramai.. hah, sekarang kesian nasib kamu semua ni.." leter Mak Teh.

Tersentuh hatiku dengan leteran Mak Teh terhadap umi.  Memang benar, arwah abah seorang penagih dadah tetapi abah tidak pernah mengabaikan kami.  Abah bekerja berhempas pulas menoreh getah untuk membesarkan kami.  Mungkin abah tersilap langkah semasa mudanya yang membinasakan dirinya sendiri.  Tapia bah sering berpesan kepada kami untuk tidak mengikuti jejak langkahnya.  Sebab itulah abang mahu kami belajar bersungguh-sungguh buktikan kepada masyarakat, anak penagih juga boleh berjaya. 

Umi pula hanya suri rumah tetapi umi juga bijak membantu abah.  Umi pandai menjahit.  Hasil upah menjahit itulah yang membantu abah menguruskan perbelanjaan kami.  Aku sebenarnya setuju dengan Mak Teh tentang bilangan keluargaku yang ramai. Aku sering diperli rakan-rakan sebaya dengan bilangan ahli keluargaku.  Aku anak sulung daripada tujuh orang adik beradik.  Suhana akan menduduki PMR, Aiman baru 13 tahun, Suraya pula 11 tahun, Adli baru 9 tahun, Ainul berusia 7 tahun dan Athirah pula baru 6 tahun.  Aku juga pernah menyuarakannya kepada umi.  Namun umi selalu berkata, anak-anak itu rezeki Allah.  Aku hanya terdiam dengan jawapan umi.

"Kinah..oo Kinah..orang dok bercakap dengan dia, boleh pulak dia termenung.. macam mana cadangan Mak Teh ni?" sergah Mak Teh mematikan ingatanku kepada Umi.

"Mak Teh, Kinah bukan sombong atau tak perlukan pertolongan Mak Teh, tapi Kinah dah janji dengan umi tak akan pisahkan adik-adik.  Kinah akan jaga adik-adik semuanya, Kinah akan berhenti sekolah.  Kinah nak cari kerja, tak kisahlah kerja apa pun.  Duit peninggalan Umi pun masih ada cuma kalau Mak Teh benar-benar ingin menolong Kinah, harap sangat Mak Teh dapat bantu Kinah uruskan permohonan bantuan pelajaran adik-adik daripada Jabatan Kebajikan," balasku lembut agar hati Mak Teh tidak terluka.  Melukai hati Mak Teh sama lah seperti melukai hati umi.  Mak Teh sahajalah saudara umi yang masih ada.

Alhamdulillah, Mak Teh akhirnya bersetuju dengan cadanganku.  Namun, Mak Teh juga meletakkan syarat yang memerlukan aku sentiasa memaklumkan perkembangan dan masalah kami kepadanya.  Aku bersyukur dengan anugerah Ilahi ini.  Sekurang-kurangnya aku masih punya tempat untuk bergantung harap.  Masih punya saudara yang sudi mengambil berat.

Hampir setahun, aku bekerja di kantin sekolah rendah di kampungku.  Syukur kerana masih ada insan yang sudi menawarkan aku pekerjaan walau pun umurku masih terlalu mentah.  Duit gajiku yang tak seberapa itulah aku gunakan untuk membeli makanan dan keperluan harian.  Bantuan daripada Jabatan Kebajikan memang aku peruntukkan untuk pelajaran adik-adikku.  Suhana yang akan menduduki PMR sebulan lagi tidak kubenarkan membuat kerja-kerja rumah walau pun dia sering membentak.  Katanya tak betah untuk duduk sahaja melihat aku bertungkus-lumus.  Namun sering aku titipkan alasan setiap apa yang aku lakukan untuk kebaikannya juga.  Aku mahu Suhana menumpukan perhatian kepada peperiksaannya.  Selepas habis PMR, barulah dia boleh membantuku semula.  Aku amat berharap adik-adikku ini dapat menyambung pelajaran setinggi-tingginya.  Syukur aku mempunyai adik-adik yang sangat baik budi pekertinya.


“Tiada harta yang paling bernilai dalam hidup ini selain ilmu ..duit ringgit dan harta benda akan habis jika dikikis setiap hari, tapi ilmu itulah yang boleh menjamin kehidupan.."  Pesanan umi masih terngiang-ngiang di telingaku.

“Kakak berjanji umi, kakak akan pastikan adik-adik tidak akan tercicir dalam pelajaran.  Kakak akan pastikan mereka akan berjaya menggenggam segulung ijazah seperti yang umi selalu impikan," tekadku.  

Biarlah aku seorang sahaja yang tidak meneruskan persekolahan.  Ilmu itu ada di mana-mana.  Belajar itu setiap waktu.  Selagi ada nafasku, selagi itulah aku akan mencari ilmu dengan caraku sendiri.  Iqra’ ku merata di atas bumi ini.

****************

“Kakak, tak kan kakak nak terus begini?  Kakak dah banyak berkorban untuk kami, kakak terima sahajalah lamaran tu.  Hana kesian tengok kakak,"  kata-kata Suhana kembali menerpa ruang ingatanku.

“Tak boleh Hana.  Tak boleh! Kakak dah berjanji dengan umi, kakak akan jaga Hana dan adik-adik.  Selagi adik-adik kakak belum berjaya, kakak tidak akan pergi ke mana-mana.  Kakak tak akan terima sesiapa pun dalam hati kakak.  Kakak tak nak bahagikan kasih sayang kakak," bantahku.

“Tapi Hana dan adik-adik dah besar kak, kami boleh jaga diri kami.  Lagipun bukan bermakna kakak akan terus tinggalkan kami," pujuk Suhana beria-ria mahukan aku menerima lamaran yang dibawa oleh Mak Teh.

          Memanglah Mak Teh ada datang membawa lamaran daripada anak jirannya.  Kalau tak silap aku, seorang Engineering yang bertugas di bandaraya besar.  Memang dia mampu menyara aku tetapi aku tidak mahu mengharap ihsan orang lain untuk adik-adikku.  Aku mahu hasil daripada tulang empat kerat ini  yang menyara mereka. 

"Kakak tak nak ada orang lain antara kakak dan adik-adik kakak.  Bagi kakak, amanah umi ini sangat bermakna.  Pada hari umi meninggalkan kita, kakak telah berjanji dengan umi.  Janganlah Hana paksa kakak. Kakak takut kakak tak mampu menjadi isteri yang baik.. "  

Semenjak hari itu, persoalan itu tidak pernah ditimbulkan lagi.  Semua adik-adikku telah maklum dengan keputusanku.  


**********


Bertahun telah berlalu.  Aidilfitri akan disambut tiga hari lagi. Kalau dahulu, kami menyambutnya dengan serba sederhana.  Hari ini, selepas dua belas tahun pemergian umi, aku amat menantikan takbir raya  ini.  Takbir raya yang membawa rinduku pada umi.  Malam-malam Ramadhanku ditemani dengan mimpi kehadiran umi.  Umi tersenyum.

Inilah Aidilfitri yang paling bermakna buatku.  Kepulangan Aiman yang ditunggu-tunggu setelah menamatkan pengajiannya di luar negara. Adikku akan bergelar seorang doktor.  Suhana juga telah menjadi seorang pendidik yang bertugas di daerah kami.  Suraya pula akan menamatkan pengajiannya manakala Adli dan Ainul masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi Tempatan.  Athirah pula sedang menanti panggilan untuk menyambung pengajiannya.  Alhamdulillah, adik-adikku telah berjaya mencapai cita-citaku.  Mungkin aku tidak bernasib baik dalam pelajaran, tetapi aku bahagia kerana mereka inilah nyawaku.

Aku??  Masih lagi di sini, di daerah sepi ini setia menemani umi dan abah.  Namun hidupku telah jauh berubah.  Aku tidak lagi bekerja di kantin sekolah.  Berbekalkan simpanan umi yang masih berbaki dan hasil keringatku, aku telah membuka sebuah kedai jahit di rumah.  Semuanya hasil didikan umi sewaktu hayat umi masih ada.  Aku juga sering mengikuti kursus-kursus serta bengkel-bengkel yang diadakan di sekitar daerah ini.  Alhamdulillah, rakan-rakan serta Suhana banyak membantuku.  Malah Suraya juga sering membawa tempahan jahitan daripada rakan-rakan mahasiswinya.  Rezeki adik-adikku semakin bertambah.

“Umi, kakak telah tunaikan janji kakak kepada umi.  Kakak tahu umi selalu ada bersama kakak.  Aidilfitri ini, umi tunggu kakak ye.  Kakak akan datang bersama adik-adik.  Aiman akan pulang umi.  Kita raikan Aidilfitri ini bersama-sama seperti dulu, ye umi.  Kakak mahu umi bangga dengan adik-adik.  Kakak mahu umi bahagia di sana melihat adik-adik.  Umi... kakak rindu umi..rindu sangat-sangat.  Umi tunggu kakak ye.."

Bergemalah alunan takbir Aidul Fitri.. bawalah rinduku.  Agar aku terus mampu berdiri di sini bersama saki baki kehidupan anugerahMu.

Kasihnya ibu
membawa ke syurga 
kasihnya saudara
masa berada

Berkorban raga
reka binasa
berkorban nyawa
tanda kasihnya

Kasihnya ayah
sanggupkah berpisah
dan kasihnya anak
berkorban nyawa

Biar pun jiwa
akan tersiksa
ikhlas dan rela
asal kau bahagia



************************

Sebenarnya cerpen ini telah lama Kak Yus tulis, asalnya, sebagai contoh kepada anakanda Nurin Hasya utk berkarya (menulis karangan bercerita --kerja sekolah).. hari ni Kak Yus polish sedikit dan nak berkongsi di blog ni.  Sudilah sayang2 Kak Yus melayan nya ye.. sudi2 juga utk drop komen.. terima kasih sayang2 K. Yus.

~ Kak Yus ~

8 comments:

  1. huk3x..x tahan lak baca cerpen ni..sungguh sedih,tp mmg best sngt2..

    ReplyDelete
  2. huhuhu...air mataku xkering lg nie

    ReplyDelete
  3. Alin ~ bila berkait dgn hidup n mati .. mmg terasa kan..


    Siti/Selera saya ~ masa yus taip ni, airmata n jari sama laju jek..huhu

    ReplyDelete
  4. cerpen yg penuh makna. dah lama baca br nk komen. hehe

    ReplyDelete
  5. seriously, saya menangis :')

    ReplyDelete
  6. Boleh di panjangkan lagi ni Yus... nak sambungan Kakak ngan Engineer tu Yus... plzzz...plzzz...plzzzz bole kan Yus...

    Nty Nitasha Ari

    ReplyDelete
  7. InsyaAllah Nty Nitasha.. ada rezeki kita kasi upgrade cerpen ni ke mini enovel..

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com